Monday, February 15, 2010

Sebuah Senyuman

SEKUNTUM SENYUMAN LAHIR DARI HATI...


Bangun!!! Bangun!!! Dia terus membuka mata. Hari sudah siang rupanya. Seorang lelaki tercegat di birai bangku. Dia terus bangkit. Dadanya berdebar kencang lalu dia terus bangun meninggalkan bangku panjang itu. “ Saudari! Saudari! “ Langkahnya terhenti. Lelaki itu menghampirinya. Dia terus mengambil beg hitam yang dihulurkan oleh lelaki berkaca mata itu. Kemudian, dia terus mengatur langkah.
Saudari mahu ke mana? “Ke mana? Dia menoleh ke arah lelaki yang tercegat di belakangnya.” Kota metropolitan ini sangat bahaya bagi gadis seperti awak ini.”
Bahaya? Ah, lelaki itu tidak tahu bahawa dia anak jati kota metropolitan ini! Dia meneruskan langkahnya. Setelah membersihkan muka di tandas awam, dia menuju ke arah warung untuk mengisi perut yang berkeroncong. Sekeping roti canai dan secawan milo panas menjadi santapannya pada pagi ini.
“Boleh saya duduk?” Dia kaget seketika. Lelaki yang ditemui di taman bunga tersenyum memandangnya. Tanpa menunggu jawapannya, lelaki itu terus melabuhkan punggung di hadapannya. Dengan tertib, lelaki itu menyuap nasi lemak yang beralaskan daun pisang itu. Dia cuba menatap wajah lelaki itu. Terserlah sinar kejujuran pada wajah yang tenang itu.
“ Setiap orang mesti ada masalah tapi hadapilah dengan bijak. Jangan hanya mengikut perasan. Awak lari dari rumah kan?” Dia hanya menganggukkan kepala. Tanpa dipinta,dia menceritakan kemelut yang melanda pantai hati. Lelaki itu hanya memasang telinga. Sesekali lelaki itu akan memberi pendapat dan pandangan.
“Saya tidak mahu menjadi boneka. Saya ada hati dan perasaan,” katanya sayu.
“Saya mengerti perasaan awk. Hmm… Mari ikut saya pulang.” Pulang? Dia merenung tajam ke arah lelaki itu.
“ Pulang ke rumah saya. Jangn bimbang. Saya tak akan jual awak sebab tiada sesiapa pun yang mampu membelinya sebab awak terlalu berharga. Hmmm… adik saya tentu gembira apabila dapat bertemu dengan awak sebab dia tidak ada kakak,” kata lelaki itu. Bibir nipis itu menguntum senyuman.

Hatinya yang keras membeku akhirnya cair dengan pujukan lelaki itu. Benarlah, kedatangannya disambut mesra oleh ummi dan abah. Najihah, si puteri bongsu begitu manja dengannya. Kemesraan yang dihulurkan oleh keluarga lelaki itu telah mengubati duka yang bercanda di jiwa. Seminggu berlalu, dia merasa bahagia tinggal dengan keluarga lelaki itu.

Si dia milik orang…
“ Hai, termenung nampak. Ingatkan siapa?” Najihah muncul tiba-tiba di hadapannya. Wajah manis itu ditatap dengan penuh kasih sayang.
“ Hmm.. ummi pergi ke mana, Ji?”
“Ummi keluar dengan abang Fikri. Hmm.. Untuk membeli barang hantaran pertunangan abang Fikri,” jawab gadis manis berambut ikal itu. Barang hantaran pertunangan? Hatinya bergelora tiba-tiba. Siapakah gadis bertuah itu? Kuntuman cemburu mula bertunas di sanubari. Cemburu? Dia beristgfar dalam hati. Mengapa harus cemburu? Biarlah lelaki itu bertunang dengan gadis pilihannya. Dia tidak berhak untuk mencampuri urusan peribadi lelaki itu. Dia hanya seorang musafir yang singgah untuk mengecapi nikmat kasih yang sementara.
“ Ummi dah balik!” Najihah berlari ke arah kereta yang berhenti di perkarangan rumah. Dia hanya memerhatikan ummi dan lelaki itu mengeluarkan barang-barang dari bonet kereta.
Rahsia yang terungkai…
Hatinya dicengkam pilu tiba-tiba. Dia terus masuk ke kamar. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalam beg hitam. Dia ingin meninggalkan rumah ini. Perlahan-lahan dia keluar dari kamar indah yang dihiasi langsir merah jambu.
“Hana nak ke mana?” Langkahnya terhenti. Lelaki itu tercegat di hadapannya. Mata redup itu merenung wajahnya dalam-dalam.
“ Hana nak pulang ke rumah. Minggu depan kuliah akan bermula.”
Ada getar di hujung suaranya. Dia cuba menyembunyikan debaran yang menggila di dada.
“ Mana ummi dan abah? Saya nak jumpa ummi dan abah.”
“ Hmm… Ummi dan abah sedang berbual-bual dengan tetamu di luar,” jelas lelaki itu. Tetamu? Dia terus melangkah ke ruang tamu. Dia tergamam tatkala melihat tetamu yang hadir pada petang yang ceria itu.
“ Emak!!! Ayah!!! Dia terus mendakap erat tubuh kurus emak sambil menangis teresak-esak. “ Maafkan Hana mak, ayah,” katanya sendu.
“ Hmm… seronok tinggal di sini ye! Sehingga lupa rumah sendiri,” sindir ayah.
“ Budak-budak zaman sekarang. Belum apa-apa, dah berani tinggal dengan bakal mertua,” kata emak. Emak menepuk-nepuk bahunya dengan senyuman yang terukir di bibir.
Bakal mertua? Dahinya berkerut. Dia memandang wajah emak dan ayah. Kemudian pandangannya beralih kea rah ummi dan abah. Akhirnya, pandangan singgah ke wajah lelaki yang tercegat di tepi dinding. Lelaki itu hanya tersenyum memandangnya. Sekuntum senyuman itu kian mekar di taman hati.

No comments:

Post a Comment